Saturday, July 26, 2008

Selamat Ulang Tahun Ke-72 FAS

PERSATUAN BOLA SEPAK SELANGOR (FAS) menyambut ulangtahunnya yang ke-72 pada 22 Februari 2008. Persatuan terulung bola sepak tanah air ini ditubuhkan pada tanggal 22 Februari 1936. Secara umumnya FAS bertanggungjawab menguruskan perjalanan pasukan Selangor dalam saingan Liga Malaysia, menadbir pembangunan bola sepak di peringkat negeri serta menyelia perjalanan liga-liga bola sepak tempatan di Selangor.

Usia 72 tahun FAS menampakkan kematangan persatuan itu apabila dianggap sebagai antara persatuan negeri terbaik di negara ini. Jawatan Presiden FAS kini disandang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr.Mohamad Khir Toyo manakala tugas-tugas harian pentadbiran persatuan diterajui Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd. Amin. Ramai di antara tokoh-tokoh bolasepak negara pernah menjawat jawatan Presiden FAS antaranya, Bapa Kemerdekaan Tuanku Abdul Rahman dan Tun Hamzah Abu Samah manakala jawatan setiausaha pula pernah dimiliki individu terkenal seperti S Anthonysamy yang menjawat jawatan tersebut selama 25 tahun sebelum melepaskannya pada 1993 dan Hamidin sendiri. Hamidin mula memegang jawatan Setiausaha Eksekutif sejak 1995 bersama -sama Setiausaha Kehormat En Salleh Ahmad pada 1995 dan En Kudus Karim pada 1996 sebelum kedua-dua jawatan Eksekutif dan Kehormat itu digabung menjadi Setiausaha Agung di mana beliau diberi penghormatan untuk menjawat jawatan tersebut hingga kini.

Sepanjang penglibatan FAS mengendali bolasepak negeri Selangor, pelbagai pencapaian diraih di dalam dan di luar padang. Pasukan bolasepak Selangor sendiri menjadi pasukan paling berjaya dalam arena bola sepak tanahair dengan menjadi naib juara Piala Kelab Asia 1967 (kini digelar Piala AFC) di samping meraih 32 kejuaraan Piala Malaysia. Ramai pemain bola sepak berbakat turut diketengahkan melalui usaha FAS untuk menabur bakti kepada skuad negeri dan negara. Berikutan pelbagai kejayaan yang diraih, Selangor turut diberi penghormatan bermain di Stadium Merdeka sejak 1957 sebelum berpindah ke Stadium Shah Alam pada 1994. FAS sendiri diberi kepercayaan menjadi penganjur salah satu gelanggang yang digunakan pada Piala Belia Dunia 1997 di samping menganjurkan Pestabola Merdeka 2007 bagi pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia.

Reputasi FAS tidak hanya gah di dalam negara apabila turut berjaya menarik perhatian beberapa pemain bertaraf antarabangsa untuk menyarung jersi Selangor antaranya penyerang antarabangsa England Tony Cottee (1997), pemain Arsenal dan Skuad Bawah 21 Tahun England Chris Kiwomya (1997), penjaga gol skuad Piala Dunia Czech 1982 (Karel Stromsik pada 1989-1991) dan Hungary 1986 (Peter Distzl pada 1994), penyerang skuad Piala Dunia Serbia Montenegro 1998 (Perica Ognjenovic pada 2006) dan penyerang Indonesia Bambang Pamungkas. Skuad Pilihan Selangor juga pernah mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab terkemuka seperti Boca Juniors (1982), Bayern Munich (1994), Dundee United (1994), Manchester United (1995) dan Middlesbrough (1996).

Di samping sistem pentadbiran dan pengurusannya yang teratur, FAS juga menjadi persatuan negeri yang pertama menyediakan penginapan di hotel (Hotel Carlton Holiday Shah Alam) sepanjang musim buat para pemainnya yang beraksi dalam Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia Bawah 19. Setelah berjaya mencipta nama di peringkat tempatan, seharusnya FAS memandang lebih jauh dan menyasarkan kejayaan di peringkat Asia pula.

sumber: www.selangorfc.com

No comments: